Ahad, 27 Januari 2008

Waqaf korporat pastikan laba dinikmati semua

JOHOR Corporation (JCorp) dengan lebih 50,000 tenaga kerja, terus bangkit daripada tekanan kegawatan ekonomi dunia apabila muncul sebagai organisasi bisnes pertama menerokai waqaf korporat dengan mewaqafkan RM200 juta saham anak-anak syarikatnya. Ia mewaqafkan kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) saham tiga anak syarikatnya yang disenaraikan di Bursa Saham Malaysia iaitu Kulim (Malaysia) Berhad dengan 12.35 juta unit saham bersamaan 4.68 peratus terbitan ekuiti, KPJ Healtahcare Berhad (18.60 juta unit saham bersamaan 4.32 peratus terbitan ekuiti) dan Johor Land Berhad (4.32 juta unit saham bersamaan 3.57 peratus terbitan ekuiti). Pewaqafan itu, yang dipercayai pertama seumpamanya di dunia, disempurnakan pada 3 Ogos 2006 oleh Ketua Eksekutif JCorp, Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan Mufti Johor, Dato’ Nooh Gadut. Menteri Besar Dato’ Abdul Ghani Othman yang juga pengerusi JCorp menjadi saksi. Serentak itu, Kumpulan Waqaf An Nur Berhad (KWANB) dipertanggungjawabkan sebagai sebuah syarikat berhad yang diiktiraf oleh MAIJ dengan jaminan tanpa syer, mengurus aset dan saham-saham yang diwaqafkan itu. KWANB menjadi pemegang saham Kulim yang diwaqafkan yang bernilai RM142, saham KPJ (RM45 juta) dan JLand (RM13 juta). Pendekatan serampang dua mata Muhammad Ali berkata pewaqafan syarikat bukanlah satu perkara baru kerana ia sudah bermula sejak Zaman Othmaniah lagi. Di negara ini, katanya, sistem waqaf wujud sejak 1907 dengan individu kaya mewaqafkan harta mereka dalam pelbagai bentuk termasuklah saham atau hartanah. “Apa yang kami lakukan dikenali sebagai waqaf korporat. “Kita mewaqafkan beberapa peratus saham anak syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Malaysia kepada MAIJ tanpa kehilangan kepentingan dalam syarikat berkaitan,” katanya. Pendekatan itu umpama serampang dua mata. Syarikat yang mewaqafkan sahamnya masih mangaut laba sementara pihak yang dipilih untuk menerima waqaf, menikmati manfaatnya. Muhammad Ali berkata 70 peratus keuntungan daripada saham yang diwaqafkan itu dikembalikan kepada JCorp untuk dilaburkan semula. Keuntungan selebihnya menjadi habuan pihak yang ditetapkan. “Kita akan menyalurkan 25 peratus untuk fisabilillah seperti bantuan kepada organisasi amal JCorp dan baki lima peratus diberikan kepada MAIJ. “Pendekatan ini secara tidak langsung membantu menghentikan hakisan pemilikan ekuiti umat Islam di Malaysia, khususnya masyarakat Melayu,” katanya. Beliau berkata JCorp akan menggunakan pulangan 70 peratus itu untuk mengembangkan lagi perniagaan syarikat yang telah mewaqafkan sahamnya termasuklah menerokai peluang perniagaan baru. “Ini bertepatan dengan konsep waqaf itu sendiri iaitu pendapatan dikembangkan agar faedahnya dapat dinikmati semua. “Konsep waqaf korporat ini juga membantu menyeimbangkan semula ekonomi umat Islam agar lebih berdaya saing dan maju,” katanya. Daripada tiga syarikat yang telah mewaqafkan saham mereka, Kulim dilihat paling menguntungkan dengan asetnya dijangka mengembang dari RM1.91 bilion tahun lepas kepada RM2.46 bilion tahun ini manakala keuntungan sebelum cukai diramal meningkat dari RM220.55 juta kepada RM230.50 juta untuk tempoh yang sama. Kini JCorp bercadang mewaqafkan lagi RM50 juta saham syarikat di bawah kumpulanya jika syarikat itu meraih keuntungan keseluruhan melebihi RM100 juta tahun ini. “Sasaran kita seterusnya ialah mewaqafkan RM50 juta saham syarikat setiap tahun,” ujar Muhamad Ali. Klinik Waqaf An Nur: juga waqaf korporat JCorp turut melaksanakan waqaf korporat menerusi pembukaan beberapa cawangan klinik, hospital dan pusat dialisis Waqaf An Nur yang untuk dimanfaatkan masyarakat. Setakat ini, JCorp mempunyai cawangan klinik di Kotaraya Johor Bahru, Pasir Gudang, Batu Pahat, Seremban, Sungai Buloh, Selangor serta klinik bergerak Waqaf An Nur. Klinik bergerak Waqaf An Nur ini beroperasi di empat lokasi sekitar Pasir Gudang iaitu Kampung Pasir Putih, Perigi Acheh, Kong Kong Laut dan Sungai Tiram. Sejak pembukaannya, klinik Waqaf An Nur telah merawat lebih 300,000 pesakit tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama dengan caj serendah RM5. Satu lagi cawangan klinik Waqaf An Nur akan dibuka di Kuching atas permintaan Tabung Baitulmal Sarawak.

Tiada ulasan: